Laman Pautan Lain

Tuesday, January 24

Cerpen: Air Itu Masih Lagi Mengalir


SEGALANYA masih segar. Masih teringat-ingat dan terdengar-dengar. Malah sudah beberapa kali saya ceritakan kepada kawan-kawan karib yang saya temui, , tentang cerita ini. Mereka seperti saya juga –akan menggeleng-geleng kepala – sukar untuk percaya. Namun, saya yakini, yang saya tidak bermimpi.

Ini cerita perjuangan. Cerita pertentangan yang belum berkesudahan – bahkan sudah mencecah beberapa dekad. Lantaran itu, saya suka sekali menitipkannya kepada sesiapa sebagai suatu tazkirah. Ia terjadi hampir dua bulan lalu, apabila kami melawat Mesir, menziarahi teman-teman di al-Azhar.

Saya yang mabuk laut terpaksa memilih jalan udara dari Amman terus ke Kaherah. Sementara dua lagi rakan saya, Zakuan dan Nushi, yang kekurangan ongkos, menaiki bot laju dari Teluk Aqabah ke Nuwaiba’, sebelum merentasi Semenanjung Sinai dan Terusan Suez. Ketika airbus Royal Jordanian mula menderu meninggalkan LTA Alia, pagi baru mendaki waktu duha. Di sebelah saya, seorang lelaki arab, sedang ralit dengan sebuah kitab di tangan. Langsung tidak terganggu dengan dengung enjin. 

Pesawat naik perlahan. Apabila isyarat larangan merokok dan tali pinggang bercantum terpadam, saya mula menyelak kitab Sayyid Qutb: Qabla wa Ba’dah Istisyhadihi (Sayyid Qutb: Sebelum dan Selepas Kematiannya) tulisan dari. Ukasyah Damanhurie yang saya temui di Maktabah lah-Risalah minggu lepas. Hampir seminggu saya merayau di serata Amman mencari buku ini. Penulisnya – seorang tokoh ulama – amat saya gemari. 
dari. Ukasyah menyebut: Beliau Sayyid Qutb Ibrahim Hussein Syazili, lahir pada 9 Oktober 1906, di Mosyah, dalam wilayah Asyut. Merupakan pemikir, pujangga, penulis, sasterawan, juga ulama ulung di Mesir pada kurun ke-20. Antara pendokong utama Ikhwanul Muslimin selepas kematian Imam Hasan al-Banna. Sudah terdidik dalam keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Khatam menghafaz al-Quran sejak berumur 10 tahun. 

Sebagai penulis, Sayyid dikatakan paling banyak dicetak bukunya. Karyanya masih terus diterbitkan hingga kini malah diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Terutama tafsirnya “Fi Zilalil Quran” (Di Bawah Lindungan al-Quran) yang dianggap ‘karya agung’ oleh kebanyakan ulama. Sebagaimana petikan mukadimah tafsir itu yang berbunyi: Kehidupan di bawah lindungan al-Quran itu nikmat. Nikmat yang tidak akan dinikmati melainkan orang yang merasainya. 

“Kamu pelajar Malaysia?” tanya lelaki di sebelah saya sejurus memberi salam. 

Saya menggangguk. Menjawab salam perlahan. Memandang tampang bersih putih di sisi. Dalam lingkungan 60-an, memakai jubah putih, berserban dan igal yang melilit kepala. Saya yakin aroma harum yang diendus sejak tadi berasal dari syeikh berjambang putih-nipis ini. Dia tersenyum lebar, memuji-muji dan mendoakan saya – sebagaimana kelaziman orang arab, sebelum pandangannya berpindah ke kitab di tangan saya. Dan senyumnya tambah mesra. 

“saya kenal penulis buku ini, malahan As-Syahid Sayyid Qutb sendiri.” 

Saya ternganga. Terkebil-kebil. Semacam kurang percaya. Punggung saya sedikit mengisar. 

“Panggil saja Abu Yazid. saya asal Damanhur, Mesir. Menetap di Sweileh, Amman. Hajatnya mahu pulang ke tanah air.” 

“Saya dari Irbid, tapi bermalam di Sweileh malam tadi. Tuan hadir dalam kuliah selepas isyak oleh dari. Solah al-Khalidi di Masjid Abdurrahman Auf?” 

Dia mengangguk dan senyum lagi. Saya teringat kehadiran malam tadi yang tidak sampai 30 orang. Bagaimana saya boleh tidak perasan lelaki ini hadir? 

“Oh, sahabatku itu. Dia … err, dari. Solah ulama tawaduk. Tapi ilmunya, masya-Allah. Hampir segala-galanya dia tahu tentang Sayyid Qutb. Tesis Sarjana dan Doktor Falsafah’nya berupa kajian khusus tentang Sayyid Qutb dan tulisan-tulisannya.” Dia membetulkan kain serban merah-putih di bahunya, seterusnya menambah, “Memang kalian pelajar Malaysia bagus-bagus belaka. Cintakan ilmu dan suka mendekati ulama.” 

Dia mulai ramah, menanggalkan kaca mata, sebelum menutup kitab di tangan. Saya sempat mengelih judulnya: Nahwu As-Sohwah Al-Islamiyyah (Era Kebangkitan Islam) karya Fathi Yakan. Ternyata dia juga penggemar tulisan pemikir Lubnan itu seperti saya. Seterusnya, kami mula berbual pelbagai perkara. Dari tutur bicaranya yang fasih tersusun, saya dapat mengesan, dia seorang berilmu. Jarang orang arab mahu menggunakan bahasa arab secara baku. Dari thaqafahnya yang tampak luas, mampu bercakap soal agama-politik-sosial-sastera, saya merasakan dia bukan sembarangan orang! 

Dan yang agak menarik darihal lelaki ini adalah maklumatnya yang mantap tentang Sayyid Qutb, keluarganya, perjuangannya, hatta karya-karyanya! 

“saya sukakan syiir-syiir Sayyid. Kamu pelajar Kuliah Sastera tentu tidak sukar memahaminya.” 
Tanpa diminta, dia mula mengalunkan beberapa bait: 

“Ke sebuah pantai yang tidak diketahui 
ke suatu alam yang kurindukan pemandangannya 
ke suatu pinggir yang lain. 
Ke suatu yang tidak engkau ketahui 
ke suatu yang tidak akan engkau lihat 
petunjuk 
untuk zaman-zaman dan alam maya 
yang diamati. 
Ke suatu yang tidak dapat kaubezakan sempadannya 
ke suatu yang dilupakan oleh manusia, alam maya, dan masa.” 

Saya menikmati suara parau orang tua itu walaupun berasa kurang selesa, hinggalah seorang pramugari datang menghulur sarapan berupa kahwa dan teh, sedikit roti, mentega dan jem Belanda. Dia berhenti bersyiir, lalu mengacau gula di dalam kahwa yang masih berasap. 

“Saya belum pernah mendengar syiir itu sebelum ini.” 

“Itu syiir “As-Syathi’ Al-Majhul” (Pantai yang Tidak Diketahui) yang dikarangnya pada 1923. Pantai atau laut yang dimaksudkan adalah kehidupan kita. Yang tidak dapat kita ketahui kesudahannya,” Abu Yazid menjelaskan. 

“Syeikh begitu mengaguminya. Tentu banyak pengalaman tuan bersamanya.” 

Abu Yazid mengangguk-angguk sebelum menggeleng-geleng. Ternyata dia senang dengan kata-kata saya. Tetapi senyum tawar di bibirnya menghentikan niat saya untuk bertanya lebih lanjut. Dia kelihatan seperti tersentuh dan barangkali sedang memikirkan sesuatu – seraya menurunkan kerusinya. Bersandar dan memejam. Kitabnya diletakkan di atas dada. 

Lantas saya meneruskan pembacaan yang terbantut. 

Sayyid bukan sahaja menulis dalam bidang keagamaan, tetapi dianggap pengarang yang mempunyai kemahiran berbahasa, bergaya, dan sukar ditangkis hujahnya. Menulis dalam pelbagai genre. Malah pernah mengkritik gurunya sendiri –Abbas Mahmud Aqqad – dalam polemik yang dianggap penting dalam perkembangan sastera Islam. Dipenjara tetapi kekal prolifik menulis, sehinggalah bukunya yang terakhir, Ma’alim fi At-Thoriq (Petunjuk Sepanjang Jalan) akhirnya membawa beliau ke tali gantung! 

Lantaran kebijaksanaannya yang luar biasa, dan kecenderungannya kepada al-Quran dan idea-idea Islam yang agak membimbangkan kerajaan, beliau dihantar belajar ke Amerika Syarikat selama dua tahun. 

Bagaimanapun ketika di sana, beliau berasa hairan setelah melihat orang-orang Barat begitu gembira dengan pembunuhan Al-Banna pada 1949. Takjub dengan kejadian itu, beliau kembali ke Mesir, memimpin Revolusi Julai 1952, sebelum menyertai Ikhwan. 

Solah Abdul Fattah al-Khalidi dalam bukunya menyebut : Sayyid Qutb syahid yang hidup. Biarpun jasadnya mati, tetapi wawasan pemikiran Islaminya terus kekal. Dan sememangnya orang yang syahid itu tidak mati. 

“Janganlah kau menganggap bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati. Bahkan mereka itu hidup di sisi Allah dengan mendapat rezeki.” - (Ali Imran : 169) 

“saya pernah menemuinya. Iya, pernah mendapat tarbiah daripadanya, pernah bekerja bersama-sama dalam gerakan Islam.” Rupa-rupanya syeikh itu belum tidur lagi –mengejutkan saya yang asyik. Dia menghirup kahwa, mengejipkan matanya, dan menunduk. “Malah pernah sama-sama dipenjarakan.” 

Ayat sambungannya itu membeliakkan mata saya beberapa detik. Buku terus saya katup. 

“Beribu orang ditangkap pada Oktober 1954. Presiden Gamal Abdul Nasser membabitkan Ikhwan dalam perancangan membunuhnya.” 

“Syeikh anggota Ikhwan?” 

“saya waktu itu baru berusia 20 tahun. Mengaji di Darul Ulum. Tertarik dengan sahsiah Sayyid lalu menuruti jejaknya menyertai Ikhwan pada awal 1953. Pengaruh kami makin kuat waktu itu, tapi benarlah, Yahudi ada di mana-mana.” 

“Yahudi?” 

“Ya. Ada kajian yang mendakwa Gamal Abdul Nasser berdarah Yahudi. Wallahu-A’lam. Kalau tidak pun, memang pengaruh Yahudi di ‘balik tabir’ menguasai kerajaan waktu itu. Macam kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah juga, semua kerja Yahudi.” 

Saya menelan liur. Buku “Al-Yahudiyah” oleh dari. Ahmad Syalaby dan beberapa lagi buku berkaitan Zionis telah saya khatam. Tetapi maklumat orang tua ini membuat saya terasa pembacaan saya selama ini masih tidak seluas mana. Teringat pendedahan sebuah media Britain baru-baru ini. Sepuluh orang pemimpin arab semasa bersusur-galur Yahudi. Sekadar provokasi? Entah. 

“Sayyid dihukum penjara selama 15 tahun, sedang kami yang masih muda dan belum berpengalaman dilepaskan selepas berbelas bulan. As-Syahid diazab paling teruk di kalangan kami. Oh, Sijin Harbie, penjara yang takkan kulupa seumur hidup.” 

Dia menarik lengan jubahnya. Dua bilur panjang keperangan jelas kelihatan. 

“Ini terlalu sedikit jika dibandingkan rakan-rakan lain. Tapi saya … saya tidak tahan menanggung.” Suaranya tiba-tiba melirih. Abu Yazid terbatuk beberapa kali. “Ditambah desakan keluarga yang kuat. saya dihantar ke Damsyik untuk menyambung belajar.” 

Tangisan seorang bayi pecah tiba-tiba. Bau asap rokok menyucuk hidung. Seorang lelaki arab-Mesir kira-kira satu setengah meter di sebelah kiri Abu Yazid masih berselamba sekalipun dimarahi ibu bayi yang menangis. Tidak tahu langsung menghormati ketenteraman awam! 

“saya beroleh Sarjana, bernikah dengan wanita Syria dan kami dikurniai tiga cahaya mata, sebelum pulang ke Kaherah pada penghujung 1964. Waktu itu, Sayyid baru keluar penjara atas permintaan Presiden Iraq Abdul Salam Arif, tapi ditangkap semula pada Ogos 1965.” 
Sudah jelas sekarang, orang tua ini bukan calang-calang orang! 

“Jadi, tuan berada di Kaherah semasa hukuman mati dijatuhkan?” 
“Hari itu, 29 Ogos 1966. saya tidak mampu mengajar di kolej seperti biasa. Pelajar kusuruh pulang. Kami terlalu hiba dengan kematiannya. Dia digantung bersama dua sahabatnya Muhammad Yusof Hawasy dan Abdul Fattah Ismail. Gamal Abdul Naser terlalu kejam menuduh Sayyid cuba mencetuskan huru-hara. ” 

Abu Yazid terdiam. Barangkali segala peristiwa masih terbayang jelas. Lantas pandangan saya buang ke luar. Awan terlalu nipis membolehkan penglihatan tembus ke bawah. Tiada kehidupan selain lautan yang terbentang luas. Laut Merah kelihatan bersisik ditikam seminau matahari. Di sinikah Allah mengajar Firaun yang taghut itu? 

“Awal 70-an, ramai anggota Ikhwan yang musafir ke luar negara kerana tidak tahan dengan tekanan kuku besi pemerintah. Antaranya adik Sayyid, Muhammad Qutb yang menjadi profesor di Universiti Ummul Qura. Alhamdulillah. saya juga ditawarkan sebagai pensyarah di Universiti Jordan hingga sekarang. Jordan lebih terbuka, terutama pada zaman Raja Hussein. Agak selesa untuk saya terus berdakwah dan menulis.” 
Dia juga seorang penulis? 

“Tapi itu dulu, sejak kemangkatan Almarhum, banyak yang kurang menyenangkan,” luahnya kesal. 
Saya mengangguk tanda setuju. Memang banyak perubahan politik di Jordan akhir-akhir ini. Pejuang-pejuang Palestin yang tumpang berlindung tidak lagi mendapat keistimewaan seperti dulu. Ada pula ura-ura pejabat-pejabat cawangan HAMAS mahu ditutup seluruhnya. 

“Jadi, tuan juga menulis? Rasanya saya belum pernah membaca hasil tulisan tuan.” 
Dia mengulum senyum, semacam geli hati. 

“Kamu sedang membacanya.” 

Tubuh sedikit tersentak. Kali ini saya memandang wajahnya sungguh-sungguh. Dia inikah dari. Ukasyah? Subhan-Allah, dia ulama-penulis yang saya kagumi itu sebenarnya! Patutlah saya begitu tertarik dengan sahsiah lelaki ini sejak tadi. 

Lantas perbualan tentu sahaja semakin rancak sedang masa begitu gesit. 

“Saya mendapat tahu kitab-kitab tuan diharamkan di Mesir?” 

“Aiwah, sebenarnya. saya sendiri sejak Perang Teluk tidak ‘boleh’ kembali ke sana. saya beroleh suaka politik di Jordan. Entah bagaimana kerajaan Mesir boleh menarikbalik pengharaman ke atasku mulai tahun ini,” luahnya dengan wajah berseri. 

Saya diterpa rasa gharib. Bagaimana kerajaan Mesir boleh selembut itu sedang ramai lagi tokoh ulama Mesir yang tidak berani pulang? Kembali bermakna menghantar diri ke bilik berjeriji besi. 

“Lalu tuan syeikh pulang ini untuk menziarahi kaum kerabat yang lama ditinggalkan?” 

“Bukan itu saja. Kebetulan minggu depan, 29 Ogos, ada majlis memperingati syahidnya Sayyid yang ke-33. Ada jemputan, dan saya diminta berucap di majlis itu. Isteri dan anak-anakku melarang juga.” Dia bagai tahu apa yang bermain di kepala saya. “Dan kadang-kadang payah untuk percaya juga. Tapi, inilah kesempatan terbaik untuk bertemu rakan-rakan lama.” 

Saya ingin bersuara, tetapi suara kapten lebih dahulu bergema menerusi P.A. System, dan isyarat larangan merokok dan tali pingang bercantum menyala semula. Pesawat mula merendah. Suara penumpang lain mula beraduk dengan pengumuman pendaratan. 

Kurang lebih setengah jam kemudian, ketika menanti Irfan yang datang menjemput di lobi terminal, Abu Yazid gagal saya kesan. Dia hilang sewaktu kaunter imegresen faudho dikerumuni penumpang yang sukar diajar supaya berbaris di belakang garisan kuning. 

Seminggu pertama di Mesir saya habiskan dengan menziarahi kenalan dan menjejaki kesan-kesan sejarah. Merangkak untuk masuk ke Piramid di Giza, merayau dalam bazar-bazar di Al-Hussein, menjenguk jasad Ramses II (Firaun yang mati lemas) dalam kuboid kaca di Muzium Mesir, hinggalah ke tugu peringatan tempat Anwar Sadat ditembak. 

Dan petang awal September itu, saya, Zakuan, Nushi, dengan ditemani Irfan baru selesai memudiki Sungai Nil dengan bot kecil yang disewa, lalu kami singgah minum di gerai tebu berhampiran tebing. Suara pengunjung lain di tebing sungai itu berkacuh dengan bunyi kenderaan di jalanan. Ibu negara yang menampung lebih sepuluh juta penduduk ini tidak pernah sunyi. Senantiasa bingar. Angin sore pinggir Kaherah yang berpuput lembut memukul-mukul pipi. Sesekali kami terpaksa mengejip-ngejipkan mata - mengelak debu yang berterbangan. 

Irfan yang ditugaskan mencari ‘alas perut’ muncul dengan sebungkus syawarma dan senaskhah akhbar harian di tangan, sedikit termengah-mengah dan riaknya nampak cemas. Dia menepuk bahu saya dan menunjukkan berita muka depan. 

“Tengok ni. Diakah syeikh yang kauceritakan dulu?” 

Saya membaca selaju mungkin. Dada berdebar-debar seterusnya kepala saya geleng. Menghela nafas sebelum melepaskannya panjang. Terimbau wajah damai lelaki tua itu juga pertemuan kami yang singkat tetapi bermakna itu. 

“Kenapa?” tanya Nushi ingin tahu. 

“Hosni Mubarak cedera di tangannya akibat ditikam semasa melambai menerusi tingkap kereta ketika lawatannya di Port Said,” jelas Irfan seraya memandang saya, meminta penjelasan selanjutnya. 

“Walhasil … dari. Ukasyah ‘Abu Yazid’ Damanhurie dan berpuluh lagi anggota Ikhwanul Muslimin ditahan selepas Majlis Zikra Istisyhad baru-baru ini atas tuduhan merancang cuba membunuh presiden.” 

Saya merapati tembok tebing. Air tebu yang direguk terasa tawar. Sebiji batu sebesar dua ibu jari kaki saya kutip. Terasa sebak juga. Ada kepedihan yang tajam menikam hati. Gamal Abdul Nasser pernah bertindak sedemikian, dan kini sejarah berulang lagi. Realiti dunia Islam memang menyayatkan. Kebenaran masih jauh kelihatan. Konfrontasi menjadi resam. Pendokong Islam masih lagi dijebak dengan prasangka dan dikriminasi. Terlalu banyak mehnah yang merintangi jihad mereka rupanya. 

Saya berpaling ke arah mereka. 

“Jum!” 

“mahu ke mana?” Zakuan bertanya. Masing-masing terpinga-pinga. 

“mahu ikut jejak Sayyid Qutb, Hasan al-Banna, dari. Abdullah Azzam, dari. Fathi Syiqaqi, dan syuhada’ lainnya.” 
Batu saya lontarkan sekuat hati ke tengah sungai yang seakan tidak beralun. Air sedikit berkocak dan membentuk bulatan yang akhirnya hilang pupus dalam arus Nil yang terus mengalir. 

1 comment:

  1. salam alayk~subhanallah,, ALLAHUAKBAR!! keep on writting kerana DIA.. alhamdulillah nice sharing..may ALLAH bless

    ReplyDelete

Yang suka berbual