Laman Pautan Lain

Monday, August 22

Tok Ayah Bersabung Nyawa




Jam sudah menginjakkan 1.30 petang. Sebentar lagi, aku akan berada di dalam “ dunia” aku. ketawa kecil aku. macam biasa, aku dengan “ makanan” ruji aku. counter strike. Zaman dulu-dulu counter strike tak moden macam sekarang. Tak sedar aku dah 1 jam aku di depan pc tok ayah.

“ Jangan lupa, abah sampai lambat hari ni.”

Tok ayah memesan setelah kekenyangan. Santai benar aku lihat dia di kerusi malas kegemaran.

“ aduh, kalau aku tau. Tak dalah aku terperuk lama depan pc. Tau jalan kaki je tadi pergi sekolah agama”

Aku mengeluh dengan nada yang agak kesal. Aku berlari mencapai tuala. Lalu menuju ke bilik mandi. Mandi aku bukan lama. Cuma lima minit je. Mandi. Gosok gigi, sabun dan bilas dalam satu masa. Hei, ni bukan mandi kerbau ok? Ni cara moden kerbau mandi.

Selepas siap semua. Aku bersiap bersalin pakai baju melayu serba putih. Tak sabar rasanya nak pergi ke kelas Ustazah Radziah kalam. Sebab hari ni subjek munkahat. Hehe. Bab kahwin dan nikah.

Sambil memandang jam berjenama G-Shock yang baru aku beli tadi, tiba-tiba je telinga ni berdesis

SsssSssssttttttttttt

Sesuatu bunyi yang seakan-akan kurang normal aku dengar. Tak selalu aku dengar, Cuma kadang-kadang je yang boleh dengar. Tak semena-mena, kepala aku berpusing kearah 45 darjah. Mataku terpaku pada satu sudut. Tergamam.

Aku terdiam. Keras macam batu badan ni. macam nampak hantu malam-malam. Aku berlawan pandagan dengan pandagan yang agak tajam. Kecil. Panjang. Sesekali tersilau mata ini disinar cahaya Zohor yang terpantul di tubuhnya. Itulah ular laut, yang aku ingat wajahnya pernah terpampang di ensiklopedia. Aku ingin menjerit. Tapi lidah ini seperti dirantai kejutan jantung.
Selepas 5 minit aku sebegitu,


Atok, ada ular, atok ular”

Ha keluar pun suara aku yang dari tadi tertahan-tahan di kerongkong. Terseksa.
“ mana-mana?”

Hentakan kaki tok ayah kedengaran. Berdentum-dentam bunyi papan rumah.
“ tu ha, kat sebalik pintu. Atok jangan keluar. Nanti kena patok”

Aku memberi amaran. Terpacak kepala ular itu setinggi sehasta. Seperti keadaan bersedia “menyerang” aksi ular itu di balik pintu rumah. Namun, Tok Ayah memekik dari dalam rumah

“ aku nak keluar ni, bagi aku ruang”

Degil. Itulah sifat atok ayah yang aku kenal. Sudah di beri amaran jangan keluar. Nak keluar juga. Aku mengalihkan segala apa yang boleh menjadi halangan laluan. Perlahan-lahan. Aku meunjukkan isyarat bagus.  Supaya tok bersedia dari dalam rumah.

Sepantas kilat, tok ayah melompat keluar bak dalam cerita yang dulu-dulu aku tengok. Macam superman dah atok melompat. Pada masa itu juga, ular nak memakok kaki tok ayah, tapi tak sempat. Tok ayah berguling-guling mencari posisi.

Dia terus kaku. Sambil tangan dan kaki dalam bersedia. Matanya tajam menembak renungan ular itu. Mulutnya terkumat-kamit seperti membaca sesuatu. Aku berhimpit ke dinding, naik berpijak atas para di belakang Tok Ayah. Dia perlahan bersuara.

“ kau pergi belakang rumah, ambilkan aku galah. Di balik kolah”

Aku tanpa soal. Terus je berlari ke belakang rumah. Nak ambil galah. Aduh, ada dua galah pula, yang panjang dan yang pendek. Yang panjang kosong. Yang pendek ada pisau. Mana nak ambil ni? atok nak pakai yang mana? Aku ambil yang pendek, sebab aku pun masa tu pendek. Nak angkat yang panjang kena heret. Lagipun yang pendek ni siap ada pisau lagi. Mungkin ni boleh jadi senjata. Otak budak kecil, macam nilah.

“  nah tok. Ni galah yang atok nak”

Aku menghulur. Atok dengan ular tadi macam tadi. Tak berganjak.

“ pengor, bukan yang ini, lagi satu”

Marah benar nampaknya. Kemerah-merahan matanya. Sumpah seranahnya jarang ditutur. Tok Aki cuma berubah bila barannya memuncak. Aku masak benar keadaannya di waktu begini.
Aku berlari semula ke kolah tadi untuk mengambil buluh yang satu lagi. Panjang. Sepanjang galah penyidai ampaian jemuran. Tebal. Setebal penumbuk lelaki dewasa. Buluh itu nampak biasa. Telanjang tak bermata. Kosong bak galah tua. Pelik dibuatnya. Galah “kosong” dibuat senjata?


“Tok! Ambil ni!”

Aku lalu mencampak buluh itu dari bawah anak tangga. Dengan sebelah tangan kanan, buluh itu disambar kemas. Sudah lama Tok Aki bersedia. Seakan tidak sabar mahu memulakan serangan.


“Bismillah..”

Perlahan. Aku kembali ke atas para di dinding belakang Tok Ayah. Memerhati dari atas, tanpa berbuat apa-apa. Aku jadi cemas.


“DUSHHH…”

Buluh itu dihunus pantas ke kepala ular itu. Ular itu mengelak dan terhentak buluh itu di dinding. Ia terus menyusur ke depan. Berdesup ke arah Tok Ayah.


Tok Ayah melompat ke belakang. Hujung buluh itu ditadah ke depan mengelak patukan ular. Ular itu bergolek ke tepi, lalu terus meluru ke depannya. Tok Ayah tepis lagi dengan hujung buluh. Tepat di kepala ular. KENA.


“Padan muka.”

Getus hati ini. Baru ku sedar motif buluh panjang itu. Untuk serangan jarak jauh rupanya. Untuk keselamatan tubuh dari dijamah ular berbisa. Sudah aku jangka orang tua ini. Entah berapa kilo garam sudah ditelan agaknya.


Ular itu tercampak ke tepi. Tapi sepantas kilat ia berundur ke belakang menuju pintu masuk rumah di ruang beranda.


“Saad, kau jaga pintu depan.”

Dia beri arahan lagi. Aku jadi cemas. Ular itu seakan mahu masuk ke dalam rumah. Aku melompat ke tanah. Terus menyelinap ke dalam rumah melalui tingkap di belah tepi. Berkejar ke pintu selaju yang mampu.


“Cepat, Addddd…”

Suasana makin gamat. Aku sempat sampai di depan pintu di dalam rumah, lalu mengatup daun pintu yang tadi terbuka luas. Dan sesaat itu juga, di kala pintu itu sedang saling merapat, ular itu berjaya masuk ke dalam rumah. Sangat pantas. Tapi, kepantasan aku lebih melangkau jangkaan kerana kepala ular itu sekarang tersepit di celah pintu yang sedang ku tahan.


Kini, kepala ular itu betul-betul di depan mata. Sejengkal jaraknya dengan ibu jariku. Jantung semakin kencang berdegup. Terdengar hentakan-hentakan buluh yang Tok Ayah bubuh di tubuh ular dari luar. Ular itu meronta-ronta keperitan. Cengkaman aku pada daun pintu semakin kuat. Sesekali aku menendang daun pintu dengan harapan agar putus kepala ular itu, tapi tak berjaya. Ular itu liat, tangkas, dan gagah.


10 minit sudah berlalu. Entah berapa ratus das hentakan buluh di tubuh ular itu dari luar rumah. Dan entah berapa liter peluh ini menitik sewaktu menahan kepala ular dengan pintu.


Tiba-tiba, Tok Ayah menghentikan serangan. Suasana jadi sepi. Ular itu semakin lumpuh tak bergerak-gerak.


“Tukk.. Tukk.. Tukk..”

Terdengar tiga bunyi hentakan buluh di atas lantai olehnya. Terdengar bisik-bisik suara yang terpacul dari mulut Tok Ayah dari luar. Entah “resmi” apa yang sedang dia lancarkan. Aku rasa pertarungan ini sudah berakhir. Tenang semula. Lega. Perlahan-lahan aku membuka daun pintu.


ZZUPPPPPP….

Ular itu terus menyusup ke celah kangkangan aku. Aku terkejut. Rupa-rupanya ular itu masih hidup. Ia berpura-pura mati sebentar tadi. Sepantas itu juga aku melompat ke atas meja makan di sebelah kanan aku. Ular itu akhirnya berjaya masuk ke dalam rumah.


“Bodoh! Aku belum siap lagi!”

Tok Ayah menjerit dari luar. Marah benar nampaknya.


“Alah! Mana Saad tahu. Ingatkan dah habis semua.”

Menyesal sungguh aku. Mana kutahu apa yang Tok Ayah lakukan tadi. Aku sangka semuanya sudah berakhir. Rupanya ketenangan berupa sementara.


“Cepat, Tok! Dia masuk ke bawah sofa. Cepat!”

Aku pula yang mengarah Tok Ayah dari atas meja. Tak dapat diteka apa sasaran ular itu. Sepertinya mahu ke bilik tengah, bilik Tok Ayah yang tersimpan segala khazanah lama.
Tok Ayah melompat ke ruang tamu. Masih memegang erat buluh panjang itu. Marah menggila nampaknya. Habis terbalik sofa dilayangkan. Permaidani yang tadinya terhampar indah, kini terdampar di atas longgokan sofa kerusi yang dia alihkan.


Kami tercari-cari bayang si ular. Lesap di dalam rumah. Pelik. Mungkin ular itu sudah mati agaknya.


Aku dan Tok Ayah berpandangan. Dia mengangkat dagu berkali-kali pada aku. Aku cuma mengangkat bahu isyarat hairan.


Vrrooommm…

Bunyi bas awam yang berhenti di depan rumah. Menurunkan penumpang yang dari arah Bandar Batu Pahat Johor menghala ke arah Muar.


Tok Ayah terus duduk di atas lantai. Menggulung-gulung daun nipah kering itu. Mengetik api. Fuhh.. berkepul-kepul asap. Nampak tenang bersahaja. Aku di atas meja perhatikan gelagatnya. Sungguh pelik. Ular laut yang dicari-cari, asap rokok yang jadi nikmatnya.


“Dia dah balik. Naik bas tadi. Kau tak payah duduk di atas meja tu lagi. Runtuh nanti.”

Bersahaja gayanya dengan rokok daunnya.


“?????????”


Memang aku pelik. Ular lau dalam rumah yang bersembunyi tadi, dah balik ke tempat asalnya dengan menaiki bas? Tak pelikkah kenyataan itu??


Sambil merokok, dia bercerita. Ular itu jelmaan manusia. Dihantar seorang pendengki di Bukit Cina. Diutus jauh dari Palembang. Dengar khabarnya, tidak berpuas hati dengan kemajuan butik milik anaknya di Bukit Cina nun.


Pesaingnya gagal merempuh “dinding” butik makcik. Lalu mengalih tumpuan pada “pemasang dinding” pula. Itu motifnya ular itu datang jauh ke selatan negara, untuk memulangkan paku berbuah keras.


Kemudian, Tok Ayah menelefon makcik di Melaka.


“Kau tutup saja butik tu, jangan ditanya kenapa. Nanti aku cerita.”

Cukup ringkas mesej Tok Ayah di talian.


Aku? Aku kebingungan. Ular boleh naik bas? Nak panjat tangga bas dengan apa? Kaki?


Moral:


1. Jangan hisap rokok. Bahaya kesihatan.
2. Selepas ini, dengar cakap orang tua, ya.
3. Jangan berdamping dengan jin atau syaitan. kerna itu syirik. dosa yang tidak di ampunkan




1 comment:

Yang suka berbual