Saat lampau seorang anak remaja adalah kisah kanak-kanaknya. Bagi belia dewasa, zaman remaja dan kanak-kanaknya adalah kenangan lalu. Bagi si tua, sedari kanak-kanak itulah rakaman hayatnya yang terdahulu. Begitulah manusia, hari semalam itu ibarat nostalgia, hari esok bagai mimpi-mimpi yang baru.
Pengalaman indah, manis, dan baik-baik, mudah saja kita mainkan kembali memori itu. Sebaliknya, kisah negatif yang pernah berlaku pada diri kita, jarang sekali terpetik di minda. Pasti mustahil andai kita dengan duduk-duduk begitu saja, berjaya mengingat kejadian buruk itu. Siapakah kita, andai kenangan pahit itu berjaya dilupakan?
Kecuali dengan satu cara. Iaitu, apabila kau berpijak pada tanah yang menjadi saksi akan kejadian tadi. Atau dengan tiba-tiba kau bertentang mata dengan insan-insan yang bersangkutan dengannya.
Kemudian, kita konon berlagak, mendabik dada seraya mengaku,
Aku sudah lupakan hal pahit yang dulu-dulu.
Sedang di dada masih terpuruk rasa malu dan benci, mengapa ia pernah berlaku pada diri sendiri?
Kerana itu, aku cukup menghindar daripada berada di lokasi, atau menyerempak dengan mereka yang berkait nostalgia terburukku. Melainkan, saat aku sudah cukup tua, cukup fikir yang ranum, cukup tenung yang dalam. Biar uban berebutan di kepala, atau rambut berkejaran cabut dari akarnya. Waktu itu aku pasti kan cukup kuat mengenang kesemuanya.
Adakah saat itu, aku bakal digelar makhluk Tuhan paling lewat? Mungkin, ya. Namun, biarlah…
Asalkan, saat terpetiknya kenangan lampau, istighfarku dibalut syahdu yang mencengkam. Pipiku dihujan permata yang mahal. Khusyukku pada Dia moga mencapai tangga yang meloncatkan. Dahiku biar kejung, legam, mencium sahabatnya, sejadah. Tanganku bersalam teman yang sering mengingatkan.
Setiap bait istighfarmu usai solat, mainkan semula rakaman dosa-dosa yang terdahulu. Nescaya sepanjang taubatmu itu, diakrabi sang airmata (yang dirindu Tuhan).
Kau tanyakan padaku, adakah aku lupa akan kisah pahit itu? Jawapanku, tidak.
No comments:
Post a Comment
Yang suka berbual