Dia Bidadari Dunia, Dia Bidadari Akhirat
Jika merancang berumah tangga, pilih jodoh yang ditetapkan agama supaya berkekalan ke akhir hayat.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan empat ciri iaitu kerana harta bendanya, keturunannya (kemuliaan keturunan), kecantikannya dan pegangan agamanya. Oleh itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung).” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).
Bolehkah kita selidiki apakah tanda atau ciri seorang isteri solehah? Antaranya ialah mentaati suami dan mengasihinya sepenuh perasaan.
Isteri solehah sentiasa memohon kemaafan suaminya meskipun melakukan kesalahan. Maka, amalan itu melambangkan mereka berhak digelar wanita berkeperibadian unggul.
Selain itu, isteri solehah sentiasa mencurahkan keimanan kepada Allah dengan sepenuh hati. Isteri berhak menasihati suami jika mereka tersilap langkah, tetapi perlu secara bijaksana selain mendokong tugas suami mentadbir keluarga.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikannya di antara kamu rasa kasih serta sayang.” (Surah Ar-Rum ayat 21).
Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah memberikan panduan dalam memilih jodoh dan calon isteri solehah? Apabila mempunyai nilai keagamaan, seseorang isteri itu memiliki akhlak serta menjadi contoh kepada anak.
Suami perlu banyak bersabar serta saling menasihati isterinya dengan penuh hikmah. Daripada Aisyah r.a yang menceritakan: ‘Aku bertanya Rasulullah; “Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan?”. Jawab Nabi; “Suaminya”. Aku bertanya lagi: “Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?”. Jawab Nabi; “Ibunya”. (Hadis riwayat al-Hakim).
Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Mana-mana perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya reda kepadanya, dia akan masuk syurga”. (Hadis riwayat At-Tirmidzi).
Islam mewajibkan seorang isteri melayani tuntutan suaminya dengan baik selepas ikatan ijab dan kabul. Memang benar, bukan mudah mendapat tingkatan isteri solehah.
Paling utama, wanita itu perlu berusaha mengikis sebanyak mungkin sifat mazmumah dalam dirinya selain bergantung pengharapan sepenuhnya kepada Allah Taala.
Tidak kira suami atau isteri, masing-masing punyai kekurangan diri yang dilengkapi pasangan masing-masing. Namun, isteri tetap perlu menjalankan ‘tugas’ utama - menghormati suami dalam apa jua keadaan.
Fuqaha bersepakat mengatakan haram hukumnya seorang isteri yang nusyuz terhadap suami. Mereka dilaknat selagi tidak bertaubat.
Nusyuz ditakrifkan sebagai seorang isteri yang tidak melakukan ketaatan terhadap suaminya. Namun, Islam meletak beberapa panduan jika suami berdepan dengan masalah isteri nusyuz.
Antaranya, jika berasakan isterinya ada tanda nusyuz seperti menjawab percakapan suami dengan nada yang kasar, bermasam muka, disunatkan suami memberi nasihat kepada isterinya terlebih dahulu.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Nasihatilah wanita secara baik kerana wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang berada di bahagian paling atas. Jika engkau meluruskannya bererti engkau mematahkannya; jika engkau membiarkannya dia akan tetap bengkok. Oleh itu, nasihatilah wanita secara baik.” (Hadis riwayat Al-Bukhari no. 3331 dan Muslim no. 1468).
Justeru, kepada wanita bersegeralah melakukan perkara yang boleh membahagiakan suami dan rebutlah peluang sementara masih diberikan waktu ini menuju ke syurga
dengan melaksanakan kewajipan mentaati suami.
No comments:
Post a Comment
Yang suka berbual